Ahad, 4 Oktober 2009

@ cerpen @

Malam kian enggan untuk menunggu. Perlahan-lahan ia mengengsot pergi meninggalkan aku di situ. Termanggu-manggu di depan meja tulisku yang kaku. Anak-anak telah lama menikmati mimpi-mimpi manis yang hanya mampu dicicipi dalam tidur mereka. Ah...

Memang zaman kanak-kanak begitu mudah. Tiada resah. Tiada gelisah. Tiada gundah. Tahu-tahunya setiap keperluan diladeni. Hari-hari mereka diwarnai jalur-jalur pelangi kegembiraan. Gelak ketawa mereka adalah irama kehidupan yang menyenankan. Malah tangis mereka melagukan harapan tanpa kesudahan. Jelas pada setiap sudut dunia anak-anak telah dianyam lembar keberkatan Illahi. Ana-anak itu anugerah Allah. Mereka ibarat kain putih yang polos lagi suci. Ibu bapa bertanggung jawab menentukan corak-corak indah yang bakal mewarnai masa depan mereka. Bagai terngiang-ngiang ungkapan hikmah itu di benak ingatanku.

Kenangan lampau berlegar-legar di fikiranku seumpama layang-layang terapung di angkasa. Kerap aku bergelut dengan perasaan bersalahku. Adakah aku mementingkan diri sendiri tanpa mempertimbangkan kesannya terhadap rumahtanggaku. Dua orang anak-anak yang kian membesar. Sudah pasti mereka merindukan kasih sayang seorang ayah. Seorang suami yang memerlukan belaian isteri. Dan aku... Di manakah sebaik-baiknya tempat seorang isteri?... Bukankah aku kerap melaung-laungkan hasrat untuk mengukir nama sebagai seorang isteri solehah.

"Abang izinkan kalau itu merupakan kehendak sayang," bisik suamiku lembut walaupun aku sedar pada hakikatnya itu bukanlah kehendaknya. Wajahnya muram sedikit. Suamiku memang jarang bersuara. Lebih suka mendiamkan diri dalam banyak perkara. Justeru, setiap patah bicara yang keluar adalah sebenarnya luahan perasaan terus dari hati. Bicara itu jua yang meletakkan aku dalam dilema. Lebih mudah aku membuat keputusan seandainya tiada sebarang sokongan darinya. HAtiku pasti bulat menolak kemungkinan itu. Habis cerita. Dengan keizinan itu, aku bagai berdiri di tengah-tengah sempadan. Setiap keputusan yang bakal diambil bakal menjuruskan aku ke perjalanan yang belum pasti penghujungnya.

Wajah-wajah tenang anakku mengheret aku kembali ke alam nyata. Dengkur halus mereka membuai rasa rindu yang teramat. Rindu pada ketenangan. Rindu pada kehidupan berkeluarga yang normal. Bukankah itu tujuan utama sebuah perkahwinan?... Membentuk keluarga yang rukun damai. Berkongsi gembira. Berkongsi duka. Saat sakit ada yang merawat. Saat pening ada mengambil berat. Lapan tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Telah banyak kesusahan dan kesenangan kami lalui bersama.

Hanizah, gadis Sabah yang telah kukenali sejak di bangku sekolah itu bersungguh-sungguh ingin memperkenalkan aku dengan guru muda lepasan UUM yang sama-sama mengajar di sekolahnya. Sikap Hanizah yang sentiasa optimis mengeratkan lagi ikatan persahabatan kami. Kami memang seperti langit dan bumi. Aku cepat berputus asa. Sering menganggap diriku tidak pernah memiliki sebarang keistimewaan. Hanizah pula sentiasa melihat pelangi yang muncul selepas setiap kali mendung berlalu selepas hujan. Aku hanya nampak kegelapan dan kesukaran sewaktu ribut. Hanizah pula mengagumi ketabahan insan yang meneruskan kehidupan selepas dilanda taufan. BAginya setiap kekecewaan bukanlah penghujung kepada kehidupan.

Hanizahlah yang bersusah payah mendengar ratapanku saat ikatan pertunanganku putus di tengah jalan. Hanizah yang sabar dengan perangaiku yang sukar untuk diramal. Lima bulan aku hilang pertimbangan. Aku menyendiri. Menyesali nasibku. Bertanya apakah kesalahanku. Selain dari pejabat, duniaku hanyalah kamar sepi yang menjadi saksi kekecewaanku. Justeru, cadangan Hanizah tidak pernah ku ambil berat. Namun, sapaan demi sapaan mencairkan hatiku yang telah beku. Lantas perkenalan singkat lewat dunia maya akhirnya menerbangkan aku ke alam perkahwinan. Ternyata musim cinta yang kami cipta di bawah lembayung keberkatan meyakinkan aku bahawa sebenarnya aku juga mampu membina kebahagiaanku sendiri. Takah demi takah kami bersama melangkah membina kerukunan. Budi Hanizah tidak pernah kulupakan.

Dan kini, setelah sekian lama bersama, ternyata aku sendiri yang menghancurkan mahligai bahagia yang kami bina. Cita-cita kami untuk sama-sama meniti kehidupan ternyata hanya tinggal impian. Dan tiada siapa yang dapat disalahkan selain dari aku. Aku yang pada suatu waktu dahulu menyalahkan orang lain di atas kekecewaanku. Kini aku pula melakukan perkara yang serupa kepada orang-orang yang ku sayangi.

Lamunanku tiba-tiba mati. Jam di dinding berdeting tiga kali. Aku masih duduk menghadap meja tulisku. Di katil, anak-anakku masih meneruskan perjalanan mereka di alam mimpi. Jauh di sana, suamiku mungkin sedang menganyam mimpi untuk kami bersama seperti dulu. Aku bingkas bangun lalu menuju ke bilik air. Aku perlu mencari ketenangan dan kekuatan dalam perpisahan ini. Tugasan kuliah yang perlu ku siapkan hujung minggu ini ku tinggalkan seketika. Aku perlu yakin yang perpisahan kami ini pasti membuahkan kejayaan yang amat manis suatu masa nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

membebel la dulu

♥dAtE oF iNTro HahA♥

Daisypath Valentines tickers

Anything Here